Thursday, May 14, 2015

Saf Dewasa vs. Saf Kanak-Kanak di Masjid


Seringkali kita perhatikan, di masjid-masjid di Malaysia terdapatnya pengasingan saf yang jelas antara dewasa & kanak-kanak ketika solat berjemaah. Ada antara masjid yang siap meletakkan papan tanda supaya kanak-kanak tidak melebihi had kawasan yang ditetapkan.

Kau kata, kanak-kanak yang belum baligh ini jika berada dalam satu saf bersama dewasa akan menyebabkan saf "terputus", atau pahala berjemaah berkurang, atau pahala saf berkurang, atau yang lebih teruk, solat akan terbatal kerana mereka ini bernajis. 

Aduh, ringan sungguh mulutmu berbicara soal agama, soal dosa pahala, soal hukum-hakam tanpa ada sandaran daripada Quran mahupun sunnah Rasul. Gelaran "ustaz", "bilal", atau "siak" yang diberi oleh orang ramai kepadamu bukan tiket untuk kau sewenangnya "berfatwa" tanpa dalil.

Lalu aku melihat kepada saf mu, mungkin juga boleh disebut sebagai saf orang sudah baligh. Kau segak berbaju melayu, berserban atau berjubah lengkap, tapi saf mu tidak sesegak dirimu dan pakaianmu. Tadi kau kata kehadiran kanak-kanak dalam saf mu akan menyebabkan saf "terputus", tapi saf mu sendiri lagi banyak yang terputus, lompang di sana & sini dek sikapmu yang liat untuk merapatkan saf, barangkali tidak selesa untuk bersentuhan dengan orang di kiri & kananmu. Tiada pula isu saf mu "terputus", atau "pahala mu berkurang.."

---

Aku katakan: Para ibu bapa, ajarlah anak-anak kita akan kepentingan merapat & meluruskan saf sejak dari kecil lagi, agar bila dewasa, mereka tidak lagi mengulangi kesilapan yang dibuat oleh pakcik-pakcik & atok-atok sebelum mereka.

Teruskan tersenyum :)

No comments: