Thursday, May 21, 2015

"Lelaki Kelantan" Perlu Boikot Kosmo!



Semalam, pada 20 Mei 2015, akhbar Kosmo! telah mengeluarkan satu berita bertajuk "Lelaki Kelantan diheret ke mahkamah", merujuk kepada seorang lelaki didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh tunangnya, seperti dalam gambar.


 Keratan Kosmo! 20 Mei 2015



Saya bukan nak sentuh pasal kes bunuh tu, memang sewajarnya dia didakwa & dikenakan hukuman jika terbukti dia melakukan jenayah tersebut. Apa yang amat mendukacitakan adalah, sekali lagi kita dihidangkan dengan etika kewartawanan yang amat rendah dan berat sebelah oleh penulis berita tersebut, juga ketua editor Kosmo!

Sejak bila pula apabila suatu jenayah dibuat, ia dikaitkan dengan negeri? Kenapa perlu ditulis "Lelaki Kelantan"? Lepas ni maknanya semua jenayah yang berlaku, tajuk berita tentangnya perlu ditulis bersertakan nama negeri. Contohnya, "Lelaki Selangor amuk, cederakan 3 orang.", atau "Wanita Pahang ditangkap mencuri barang di pasaraya", atau "Lelaki Malaysia songlapkan wang negara", dan lain-lain lagi. Tajuk-tajuk di atas hanyalah contoh semata, tiada kaitan dengan sesiapa. Jika ada, ia mungkin hanya kebetulan.

Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Ketereh & juga Presiden KAFA juga menyatakan kekecewaan beliau atas ketidakadilan berita yang ditulis.



Sumber: Facebook Tan Sri Annuar Musa


Dengan itu, saya menyeru semua "lelaki Kelantan" di luar sana agar kita boikot saja akhbar Kosmo! ini. Bukan saja "lelaki Kelantan", tapi seruan ini perlu disahut juga oleh "wanita Kelantan", "remaja Kelantan" dan "kanak-kanak Kelantan." Jika ada rakyat Malaysia lain mahu turut serta, ia amat dialu-alukan. Tunjukkan kepada mereka bahawa etika kewartawanan tahap sampah amat tidak dialukan oleh rakyat Malaysia. Banyak lagi akhbar lain yang boleh dibeli, Sinar Harian atau Berita Harian ke. Saya bukanlah minat membeli akhbar bercetak, sebab saya biasanya baca secara online saja. Tapi sekiranya ada hari tertentu yang saya rasa perlu beli akhbar, atas sebab topik tertentu yang menarik, maka saya akan pilih Sinar Harian. Itu pendapat saya semata, tidak wajib betul, harus salah.

Akhir sekali, saya harap Kelantan FA bakal memberi tentangan sengit kepada Singapore Lions XII dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, dan bakal kembali menjulang piala tersebut serta mengelakkan ia terlepas ke tangan pasukan negara jiran. Tak tahu lah jika ada rakyat Malaysia yang tak suka tengok Kelantan menang, dan lebih rela melihat Singapore menang.

Gomo Kelate Gomo!

No comments: