Sunday, September 19, 2010

18 September : Memperingati Peristiwa Penyembelihan di Sabra dan Shatila

Peristiwa pembunuhan dan penyembelihan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila dari 16 hingga 18 September 1982 tidak mungkin terpadam daripada sejarah kemanusiaan, walaupun media arus perdana seakan-akan tidak pernah tahu tentang hakikat peristiwa tragis itu.

Serangan dan pembunuhan di Sabra dan Shatila itu merupakan salah satu daripada rentetan sikap keji yang dilakukan oleh rejim pengganas Zionis Israel atas arahan secara langsung oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Ariel Sharon. Sharon menggunakan taktik jahat dan hina dengan mengambil kesempatan daripada krisis militia Palangist Kristian di Lubnan bagi menghancurkan rakyat Palestin yang terpaksa menumpang hidup di kem-kem pelarian berkenaan. Batalion Palangist ini menyerang, menyiksa dan membunuh secara kejam wanita, anak-anak dan warga tua sementara tentera Zionis yang mengawal perimiter kem-kem tersebut membiarkan sahaja keganasan itu berlaku dan menghalang pihak luar daripada memasuki kawasan.

Lihatlah wajah anak-anak Palestin yang tidak berdosa dibunuh dengan kejam. Mereka ibarat adik-adik & anak-anak kecil kita yang tidak mengerti apa-apa..mungkin dibunuh tatkala mereka sedang riang bermain, atau ketika  sedang menyuapkan sesuap makanan ke mulut mereka. Masih lenakah kita dibuai mimpi? Masih inginkah kita menyokong zionist yahudi ini dengan menyalurkan bantuan kewangan secara tidak langsung melalui barangan mereka yang kita gunakan? Fikir-fikirkan...


Serangan brutal dan tragis selama 3 hari itu telah mengorbankan seramai 3,500 pelarian Palestin. Ramai lagi dilaporkan hilang dan terkubur di bawah runtuhan bangunan. Ratusan mangsa serangan yang masih hidup telah dibawa menaiki trak menuju ke tempat misteri, yang sehingga ke hari ini tidak diketahui nasib mereka.

Baca selanjutnya di Haluan Palestin.

Thursday, September 9, 2010

Hari Raya - yang baik dan yang buruk

Hari raya seharusnya menjadi sambutan yang meriah, diisi dengan suasana gembira dan syukur meraikan kejayaan di bulan Ramadhan, bertemu sanak-saudara dan sahabat handai, ditambah dengan pelbagai juadah yang dihidangkan.. Yang penting, semuanya berjalan dengan baik dan bersederhana, tiada pembaziran, tiada kesedihan, tiada rungutan, dan tiada sebarang unsur negatif yang boleh merosakkan sambutan hari raya ini..

Kulliyyah of Engineering Open House (Aidilfitri 2004).. zaman muda-mudi, bersama salah seorang sahabat rapat. Sengaja mengimbas kenangan Aidilfitri di UIAM.


Yang disebutkan di atas hanyalah teori, tapi praktikalnya adakah begitu? Mungkin tidak.. mana tidaknya, tatkala hari raya menjelang, banyak peristiwa yang kurang enak dilihat dan didengar berlaku dlm masyrakat kita. Bukan hari raya yang tidak baik, tapi masyarakat yang mencemarkan kesucian sambutan hari ini. Berdasarkan pemerhatian saya, perkara-perkara berikut perlu kita sama-sama lihat, muhasabah dan cuba untuk memperbaikinya di masa hadapan.

Mercun
Saya amat tidak setuju andai ada yang mengatakan bahawa mercun boleh menambah kemeriahan berhari raya. Benarkah ini daripada ajaran Islam, juga adat sopan orang timur? Semua boleh lihat dan baca tentang malapetaka yang disebabkan mercun. Bukan saja berbahaya, malah perbuatan ini amat jelas suatu pembaziran, yang amat dimusuhi oleh Islam (dan disukai oleh syaitan). Orang Melayu kita lebih nampak pembaziran itu dalam bentuk makanan mungkin.. Kerajaan kelihatan begitu hebat berkempen memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya mercun, tapi saya tidak nampak kesan positif yang ketara.

Saya lihat mercun masih dijual secara terbuka di bazar-bazar Ramadhan (kecuali di UIAM). Para peniaga tiada rasa takut, dan pembeli juga tanpa segan silu untuk membeli. Memang benar, penguatkuasaan tanpa kesedaran masyrakat tidak akan berhasil. Tapi saya rasa penguatkuasaan juga masih belum menyeluruh dan ketat. Jika tidak, masakan mereka begitu berani membuka gerai menjual mercun di bazar-bazar Ramadhan?

Apa lagi bahana mercun? Ya, ia jelas melanggar adat kesopanan masyarakat kita, sebagai orang Islam dan orang timur, yang seharusnya menghormati hak-hak jiran tetangga. Kehadiran mercun amat mengganggu keamanan dan kesejahteraan suasana di bulan Ramadhan dan Syawal, terutamanya pada waktu malam. Waktu malam di bulan Ramadhan yang sewajarnya diisi dengan pelbagai amalan ibadat, dicemari dengan dentuman mercun, tidak kira samada di kampung, kawasan perumahan, malah di dalam kawasan masjid atau surau. Alangkah dangkal dan tidak bertamadun mereka ini yang tidak tahu menghormati sesama saudara Muslim yang ingin beribadat, juga jiran-jiran bukan Muslim yang mungkin ingin berehat bersama keluarga.. Alahai, apa nak jadi dengan masyarakat kita..

Sikap kurang ajar dan tiada timbang rasa di jalan raya 
Alhamdulillah, saya selamat sampai di kampung 2 hari sebelum raya. Lebuhraya Utara-Selatan masih lengang walaupun bilangan kenderaan nampaknya bertambah. Sepanjang perjalanan, pelbagai ragam manusia (pemandu) saya perhatikan. Saya sendiri juga bukanlah pemandu yang sempurna, tetapi dalam keadaan menjelang hari raya ini, saya cuba sebaik mungkin untuk memandu dengan berhemah.. paling penting, patuh had laju (110 km/j). Kalau bukan di musim perayaan, adakalanya saya juga terlebih drp had tersebut.

Bagi saya, patuh had laju bukan saja bermakna tidak memandu melebihi had laju tersebut, tetapi para pemandu juga tidak sepatutnya memandu dengan terlalu perlahan. Katakan kelajuan purata para pemandu di lebuh raya adalah 90-110 km/h, maka janganlah ada pemandu yang memandu dengan kelajuan 60-80 km/h. Pemandu sebegini yang sebenarnya menjadi punca kesesakan jalan raya (di lebuh raya), yang mana boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Apa nak buat, memang ada pun pemandu sebegini. Mungkin tiba masanya kerajaan memperkenalkan satu lagi peraturan, iaitu had laju minimum. Para pemandu yang memandu di bawah kelajuan minimum juga patut dikenakan tindakan. Logik tak?

Saya memandu di belakang sebuah kereta Proton Persona yang dipandu dengan agak perlahan (yang kelihatan amat baru), rasanya kurang drp 90km/h. Menyedari tiada kenderaan lain di hadapannya, juga tiada tanda-tanda pemandu tersebut (seorang lelaki) akan bergerak lebih laju, saya bertindak memotong  kereta tersebut sambil sempat menjeling ke arah pemandunya. Wah, hebat!.dia tengah buat apa? Rupanya tengah taip/baca sms (nampak mcm taip sms), patutlah romantiknya bawak kereta.

Inilah sikap (segelintir) pemandu Malaysia, yang boleh saya klasifikasikan sebagai tidak menghormati hak pengguna lain. Sikap ini bukan saja boleh membawa kecelakaan kepada dirinya sendiri, tapi yang lebih teruk akan memudaratkan pengguna lain (yang memandu dengan berhemah). Telah banyak berita yang kita lihat dan baca, ramai yang menjadi mangsa di jalan raya buka saja disebabkan kecuaian diri sendiri, tapi juga menjadi mangsa pemandu lain yang cuai. Kalau pun pemandu sebegini tidak sayangkan nyawa sendiri, hormatilah orang lain yang masih sayangkan nyawa mereka, juga sanak-saudara mereka yang menunggu di kampung halaman.

Sebagai penutup bicara, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah sentiasa lindungi kita daripada pelbagai malapetaka, supaya kita dapat meraikan hari bahagia ini bersama orang-orang tersayang. Sudah tiba masanya untuk kita melangkah maju ke hadapan, mengubah paradigma agar kita semakin maju dan bertamadun, berbekalkan panduan daripada Allah dan Rasul. Wallahua'alam.

Wassalam.

Friday, September 3, 2010

Episod Ramadhan 1431H

Saya sememangnya suka menulis..sama seperti saya suka bercakap. Mungkin sikap itulah yang membuat saya memilih kerjaya sebagai ahli akademik. Namun dalam banyak keadaan, saya rasakan tulisan saya lebih kemas dan tepat berbanding apa yang saya cakapkan. Cuma kongkongan masa dan tugasan menjadikan saya amat kurang menulis sejak akhir-akhir ni

2005 in memory.. iftar bersama kawan-kawan sebelum ke final exam - Waste Management & Utilization
Ramadhan sudah pun berada di penghujungnya. Biasanya setiap tahun pasti ada sedikit coretan daripada saya berkenaan Ramadhan. Bila saya selak kembali helaian tulisan-tulisan terdahulu, banyak juga catatan Ramadhan yang saya kongsikan di sini.

Bemula dengan Episod Ramadhan Hidupku yang memaparkan (macam filem pulak bunyinya) kisah suka duka di bulan Ramadhan sejak di sekolah sehinggalah ke universiti (sebagai pelajar dan sebagai staff). Kemudian diikuti dengan 13 Days of Ramadhan to go.., Muhasabah di akhir Ramadhan, dan Bila Ramadhan Berakhir. Mungkin ada lagi yang saya terlepas pandang..  

Dan kali ni saya mencari-cari kekuatan untuk menulis sesuatu, apatah lagi Ramadhan hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Mungkin 'Episod Ramadhan 1431H' adalah tajuk yang sesuai. Apapun tajuk yang diberi, tujuannya tetap sama.. Dan harapnya apa yang dicatatkan sedikit-sebanyak memberi kesan kepada diri. Kalau tidak hari ini, mungkin hari esok.. Insya Allah.

Sedar tak sedar, dah setahun saya berada di UIAM setelah kembali dari USM. Banyak perkara yang berlaku dalam tempoh ini. Pengalaman yang paling berharga, saya diberikan tugasan untuk mengajar. Pada mulanya saya berteka-teki dengan diri sendiri, subjek apa yang akan diberikan oleh HOD. Sekali terus dapat Thermodynamics. Memang agak sukar subjek ni. Kalau dulu saya kena study untuk faham, tapi sekarang saya kena study untuk faham dan juga untuk memahamkan para pelajar, yang semestinya lebih sukar. Tapi benar kata orang, cara yang terbaik untuk belajar adalah dengan mengajar (berkongsi) orang lain. Harapnya para pelajar juga dapat menerima saya yang masih serba kekurangan ini.

Alhamdulillah, setelah 2 semester (walaupun semester ni hanya separuh), saya semakin suka dengan subjek ni. Tugas mengajar sudah pun diambil alih oleh pensyarah lain, tapi tugasan saya belum selesai. Mid-term test baru saja berakhir, dan sekarang saya perlu memeriksa semua kertas jawapan. Harapnya dapat disiapkan dengan segera.

Selain itu, saya juga ditugaskan sebagai Coordinator untuk Engineering Industrial Training. Boleh dikatakan tugas yang mencabar, dalam melayani karenah pelajar (yang saya anggap seperti adik-adik) untuk mencari tempat praktikal. Saya sukakan tugas ni. Di samping dapat membantu adik-adik, banyak pengalaman berharga yang saya dapat sepanjang menjalankan tugas ini, juga kenalan dari luar, terutamanya pihak industri.

Menjelang beberapa hari lagi Syawal akan tiba, saya rasa sedikit sayu bila mengenangkan  saya tidak mengoptimumkan Ramadhan kali ini, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, terutama sekali semaza zaman  muda-mudi dulu. Teramat banyak kekurangan pada diri. Ramadhan kali ini juga dirasakan amat cepat berlalu. Sedar-sedar sudah dipenghujungnya.. Alangkah ruginya. Seolah-olah tiada kejayaan yang hebat untuk diraikan sempena Syawal ini..

Moga Allah memberikan kita peluang untuk menghabiskan saki-baki Ramadhan kali ini sebaik yang mungkin, juga memanjangkan umur kita supaya dapat sekali lagi bertemu dengan Ramadhan tahun depan.

Akhir kalam, Salam Aidilfitri untuk semua yang sudi membaca, yang lama mahupun baru. Mudah-mudahan hari raya ini membawa kegembiraan buat semua. Dan jangan dilupakan nasib saudara Muslim kita yang memerlukan tak kira di mana mereka berada.

Wassalam.