Hari raya seharusnya menjadi sambutan yang meriah, diisi dengan suasana gembira dan syukur meraikan kejayaan di bulan Ramadhan, bertemu sanak-saudara dan sahabat handai, ditambah dengan pelbagai juadah yang dihidangkan.. Yang penting, semuanya berjalan dengan baik dan bersederhana, tiada pembaziran, tiada kesedihan, tiada rungutan, dan tiada sebarang unsur negatif yang boleh merosakkan sambutan hari raya ini..
Kulliyyah of Engineering Open House (Aidilfitri 2004).. zaman muda-mudi, bersama salah seorang sahabat rapat. Sengaja mengimbas kenangan Aidilfitri di UIAM.
Yang disebutkan di atas hanyalah teori, tapi praktikalnya adakah begitu? Mungkin tidak.. mana tidaknya, tatkala hari raya menjelang, banyak peristiwa yang kurang enak dilihat dan didengar berlaku dlm masyrakat kita. Bukan hari raya yang tidak baik, tapi masyarakat yang mencemarkan kesucian sambutan hari ini. Berdasarkan pemerhatian saya, perkara-perkara berikut perlu kita sama-sama lihat, muhasabah dan cuba untuk memperbaikinya di masa hadapan.
Mercun
Saya amat tidak setuju andai ada yang mengatakan bahawa mercun boleh menambah kemeriahan berhari raya. Benarkah ini daripada ajaran Islam, juga adat sopan orang timur? Semua boleh lihat dan baca tentang malapetaka yang disebabkan mercun. Bukan saja berbahaya, malah perbuatan ini amat jelas suatu pembaziran, yang amat dimusuhi oleh Islam (dan disukai oleh syaitan). Orang Melayu kita lebih nampak pembaziran itu dalam bentuk makanan mungkin.. Kerajaan kelihatan begitu hebat berkempen memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya mercun, tapi saya tidak nampak kesan positif yang ketara.
Saya lihat mercun masih dijual secara terbuka di bazar-bazar Ramadhan (kecuali di UIAM). Para peniaga tiada rasa takut, dan pembeli juga tanpa segan silu untuk membeli. Memang benar, penguatkuasaan tanpa kesedaran masyrakat tidak akan berhasil. Tapi saya rasa penguatkuasaan juga masih belum menyeluruh dan ketat. Jika tidak, masakan mereka begitu berani membuka gerai menjual mercun di bazar-bazar Ramadhan?
Apa lagi bahana mercun? Ya, ia jelas melanggar adat kesopanan masyarakat kita, sebagai orang Islam dan orang timur, yang seharusnya menghormati hak-hak jiran tetangga. Kehadiran mercun amat mengganggu keamanan dan kesejahteraan suasana di bulan Ramadhan dan Syawal, terutamanya pada waktu malam. Waktu malam di bulan Ramadhan yang sewajarnya diisi dengan pelbagai amalan ibadat, dicemari dengan dentuman mercun, tidak kira samada di kampung, kawasan perumahan, malah di dalam kawasan masjid atau surau. Alangkah dangkal dan tidak bertamadun mereka ini yang tidak tahu menghormati sesama saudara Muslim yang ingin beribadat, juga jiran-jiran bukan Muslim yang mungkin ingin berehat bersama keluarga.. Alahai, apa nak jadi dengan masyarakat kita..
Sikap kurang ajar dan tiada timbang rasa di jalan raya
Alhamdulillah, saya selamat sampai di kampung 2 hari sebelum raya. Lebuhraya Utara-Selatan masih lengang walaupun bilangan kenderaan nampaknya bertambah. Sepanjang perjalanan, pelbagai ragam manusia (pemandu) saya perhatikan. Saya sendiri juga bukanlah pemandu yang sempurna, tetapi dalam keadaan menjelang hari raya ini, saya cuba sebaik mungkin untuk memandu dengan berhemah.. paling penting, patuh had laju (110 km/j). Kalau bukan di musim perayaan, adakalanya saya juga terlebih drp had tersebut.
Bagi saya, patuh had laju bukan saja bermakna tidak memandu melebihi had laju tersebut, tetapi para pemandu juga tidak sepatutnya memandu dengan terlalu perlahan. Katakan kelajuan purata para pemandu di lebuh raya adalah 90-110 km/h, maka janganlah ada pemandu yang memandu dengan kelajuan 60-80 km/h. Pemandu sebegini yang sebenarnya menjadi punca kesesakan jalan raya (di lebuh raya), yang mana boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Apa nak buat, memang ada pun pemandu sebegini. Mungkin tiba masanya kerajaan memperkenalkan satu lagi peraturan, iaitu had laju minimum. Para pemandu yang memandu di bawah kelajuan minimum juga patut dikenakan tindakan. Logik tak?
Saya memandu di belakang sebuah kereta Proton Persona yang dipandu dengan agak perlahan (yang kelihatan amat baru), rasanya kurang drp 90km/h. Menyedari tiada kenderaan lain di hadapannya, juga tiada tanda-tanda pemandu tersebut (seorang lelaki) akan bergerak lebih laju, saya bertindak memotong kereta tersebut sambil sempat menjeling ke arah pemandunya. Wah, hebat!.dia tengah buat apa? Rupanya tengah taip/baca sms (nampak mcm taip sms), patutlah romantiknya bawak kereta.
Inilah sikap (segelintir) pemandu Malaysia, yang boleh saya klasifikasikan sebagai tidak menghormati hak pengguna lain. Sikap ini bukan saja boleh membawa kecelakaan kepada dirinya sendiri, tapi yang lebih teruk akan memudaratkan pengguna lain (yang memandu dengan berhemah). Telah banyak berita yang kita lihat dan baca, ramai yang menjadi mangsa di jalan raya buka saja disebabkan kecuaian diri sendiri, tapi juga menjadi mangsa pemandu lain yang cuai. Kalau pun pemandu sebegini tidak sayangkan nyawa sendiri, hormatilah orang lain yang masih sayangkan nyawa mereka, juga sanak-saudara mereka yang menunggu di kampung halaman.
Sebagai penutup bicara, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah sentiasa lindungi kita daripada pelbagai malapetaka, supaya kita dapat meraikan hari bahagia ini bersama orang-orang tersayang. Sudah tiba masanya untuk kita melangkah maju ke hadapan, mengubah paradigma agar kita semakin maju dan bertamadun, berbekalkan panduan daripada Allah dan Rasul. Wallahua'alam.
Wassalam.
2 comments:
Nasihat yang baik menjelang lebaran.. hehe.. Bab mercun tu mmg sgt2 setuju.. Melanggar kesusilaan kita sebagai masyarakat yg beradab.. Entahlah.. Kadang2 mak bapak tak ambik kisah.. Moga Allah memelihara kita dari segala bentuk kelalaian atas nama meraikan kemeriahan aidilfitri.. Selamat Hari Raya Aidilfitri.. Minal A'iedeen Wal faizin.. Taqabbalallahu Minna Waminkum..
Naz, ana ucapkan Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin. Semoga Allah menerima ibadah kita semua. Datangle beraye umah bujang kami...
Post a Comment