Monday, June 9, 2008

Berbicara soal kenaikan harga bahan api di Malaysia

Tanggal 5 Jun 2008 merupakan satu tarikh yang mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Rakyat tentunya terkedu dengan keputusan kerajaan (yg diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya lepas) menaikkan harga petrol dan diesel, masing-masing kepada RM2.70 dan RM2.58 seliter. Saya pada petang 4 Jun tersebut dalam perjalanan pulang dari Shah Alam ke Gombak selepas menziarahi sanak-saudara bersama isteri, ibu dan adik saya. Tatkala diumumkan keputusan kerajaan tentang kenaikan harga minyak itu, stesen-stesen minyak diserbu ratusan kenderaan. Saya juga mengambil keputusan untuk mengisi minyak apabila sampai di Stesen Petronas Hulu Kelang. Itulah kali terakhir saya berkesempatan mengisi minyak dengan harga RM1.92 seliter.

Rata-rata, rakyat Malaysia mepersoalkan keputusan tersebut. Rakyat bukannya pakar ekonomi, tapi mereka tentu boleh berfikir secara logik akan hal ini. Dengan kenaikan harga minyak mentah dunia, maka kerajaan terpaksa menaikkan harga bahan api tersebut. Namun yang dipersoalkan oleh logik akal rakyat adalah, sekiranya harga minyak mentah dunia meningkat, maka sudah tentu untung oleh Petronas juga berlipat kali ganda. Atau adakah ini tidak masuk akal? Budak sekolah rendah pun sudah tentu dapat memikirkannya. Maka kemana perginya keuntungan Petronas ini? Sejauh manakah projek-projek mega yg dijalankan dapat menyumbang kepada kesenangan hidup rakyat secara keseluruhannya?

Ya, sebagai salah seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia, saya sudah tentu turut terkena bahang tekanan akibat kenaikan harga minyak ini. Kenaikan harga ini secara langsung telah menyebabkan banyak barangan lain di pasaran turut meningkat, yg sememangnya tidak akan dpt dielakkan. Apatah lagi kadar tarif elektrik juga telah dinaikkan. Saya berdoa semoga Allah sentiasa membela nasib rakyat yang teraniaya. Sesungguhnya doa rakyat yang teraniaya pasti akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Saya tidak mahu berbicara panjang soal kenaikan harga minyak ini. Cuma sukacita sekiranya saya dapat berkongsi beberapa pendapat & luahan tokoh-tokoh terkenal di Malaysia tentang hal ini.

Seperti yang saya tunggu-tunggu, dan saya percaya ramai yang lain juga mengharapakan, Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin telah secara lantang menulis tentang topik ini. Saya amat mengagumi akan keberanian & ketelusan beliau dalam melontarkan pandangan, tidak kira kepada siapa, berpegang kepada prinsip kebenaran. Artikel beliau yg terbaru, Agama Bukan Candu untuk Mengkhayalkan Orang Miskin di laman web beliau serta Mingguan Malaysia 8 Jun 2008.

Berikut adalaha beberapa perenggan tulisan beliau:

.....Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televisyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.

Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.

Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.

Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.

Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.


Baca selanjutnya di laman web Mufti Perlis>>

Selain itu, satu tulisan yang menarik telah ditulis oleh Tun Dr. Mahathir Moahamad, mantan Perdana Menteri Malaysia di blog beliau yg bertajuk 'Oil Price'. Penerangan beliau akan hal ini tampak lebih mudah untuk difahami, diselit dengan beberapa contoh pengiraan & situasi tertentu.

Banyak lagi tulisan, kolum & pendapat yg berkaitan dengan perkara ini, yg mana ada sebahagiannya saya linkkan di sisi blog ini untuk bacaan rakan-rakan.

Wassalam.

3 comments:

Anonymous said...

Kerajaan sedang kumpul duit... tetapi ke mana akan dibelanjakan.
Rakyat tanggung lagi kesannya....

ibnul'araby said...

Hmmm.. Terkejut dapat berita nih masa makan malam lepas isyak di Makkah.. Sekaligus 80 sen.. Aduhhhh...!! Hmmm.. Still need time nk baca perkembangan issue nih.. Thanks Dr Nazri atas ulasan awal..

mr fotografer said...

Hmm...sememangnya kita nantikan ulasan drp Tun Abdul Muiz akan hal ini. Tp biarlah dulu, mungkin nak ambik masa berehat buat sementara waktu sekembalinya dari Tanah Suci.