Wednesday, February 13, 2008

Demam Pilihan Raya ke-12 Bermula

Hari ini 13 Februari 2008, Rabu... Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah secara rasminya mengumumkan pembubaran Parlimen Malaysia kali ke-11 setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung. Ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan dalam sedikit masa lagi.


Apa yang menariknya pilihan raya kali ini? Sebab ini bakal menjadi permulaan kepada aku sebagai rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi. Sebelum ni bila tiba musim pilihan raya, excited melihatkan pelbagai ragam kempen yang dijalankan. Masih ingat lagi, semasa pilihan raya ke-11 dulu, sampai tak tidur malam sebab nak tunggu keputusan diumumkan, terutamanya utntuk negeri Kelantan, negeri tanah tumpah kelahiranku. Aku pulak yang jadi suspen, bukannya jadi calon atau mengundi pun. Tapi mungkin masa tu zaman bergelar mahasiswa, darah muda tengah mengalir deras..huh. Cuma semangat di dalam je, tapi kalau nak berbincang & berdialog pasal politik ni, kurang sikit lah. Kalau ada pun, mungkin perbincangan ringan dengan kawan-kawan.

Di sebalik kemeriahan kempen pilihan raya ni, ada juga yang kurang enak didengar. Berlakunya perkelahian antara penyokong di satu dua tempat mencemarkan kempen pilihan raya. Kempen ini yang sepatutnya dijadikan satu pesta aman & bersih, sesekali bertukar liar. Mudah-mudahan perkara sebegini tidak akan berlaku lagi, tidak kira lah berpunca daripada pihak mana pun, kerajaan mahupun pembangkang. Sewajarnya setiap pihak perlu ada pertimbangan yang normal, bukannya caci-mencaci, kata-mengata, malah yang lebih teruk, kafir-mengkafir antara satu sama lain. Na'uzubillah.

Bagi pihak yang mengatakan demokrasi (pilihan raya) bukanlah cara Islam, kerana Islam memilih pucuk pimpinan melalui sistem syura..ya, itu betul. Namun adakah kita patut berpeluk tubuh tanpa mengambil sekarang tindakan setiap kali musim pilihan raya tiba? Bagi aku, kita tidak perlu mendukung & mengagungkan sistem demokrasi, namun itulah satu-satunya wadah yang ada buat masa ini untuk kita gunakan hak kita dalam pemilihan pemimpin. Sekurang-kurangnya sebagai rakyat Malaysia, kita patut keluar mengundi. Siapa yang diundi, itu bukanlah isu. Tapi biarlah yang diundi itu seorang pemimpin yang takutkan Allah, serta berlaku adail pada rakyat jelata. Alangkah agungnya Islam di zaman pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin, juga generasi-generasi selepas mereka. Untuk mencari pemimpin seumpama mereka pada zaman ini, adalah hampir mustahil. Namun, kalaupun tidak dapat menjadi seperti mereka, kita masih boleh mencari pemimpin yang cuba untuk mangikut jejak langkah pemimpin-pemimpin agung Islam tersebut, sedaya yang mereka mampu, bukannya langsung meninggalkan. Aku hanyalah bercakap dari kaca mata & pandangan seorang rakyat biasa, bukan niat untuk mengajar kerana aku sedar betapa banyak kelemahan diri yang masih perlu diperbaiki.

Sebagai kata-kata akhir, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah, agar Malaysia akan terus aman damai, dilimpahi rahmat & keberkatan, dengan asbab ketaqwaan pemimpin tersebut, tidak kira lah siapa yang bakal terpilih untuk menerajui pucuk pimpinan selepas pilihan raya nanti. Semoga pilihan raya kali ini tidak akan dicemari dengan adegan cerca-mencerca dan pergaduhan di sana sini, Insya Allah.

Wassalam.

No comments: