Tuesday, November 4, 2008

Kita cari yang tersembunyi, kita biarkan yang nyata

Beberapa petikan daripada tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yg bertajuk Bila Yang Nyata Dibiar, Yang Tersembunyi Dicari.

-------------------------------------

Amat dukacita bagi masyarakat kita, jika kita sibuk mendedahkan maksiat yang tertutup yang disuruh oleh prinsip Islam agar kita tidak membukanya, dalam masa yang sama kita membiarkan berleluasa maksiat yang terbuka yang dilakukan atas pentas, dalam filem dan dijual dengan harga yang mahal.

Amatlah dukacita jika penguat kuasa agama ada masa yang cukup untuk pergi mengintip, memecah pintu milik peribadi orang lain bagi memastikan maksiat wujud ataupun tidak, namun dalam masa yang sama tiada masa untuk menghenti suami yang zalim memukul isteri yang sudah berulang kali membuat aduan, tidak cukup masa untuk menyelesaikan kes-kes kezaliman rumah tangga dan seumpamanya.

Aduhai dukacita, jika mereka bersemangat sampai sanggup tunggu pukul 2, 3 pagi untuk mengintip pasangan berkhalwat tetapi tiada cukup tenaga untuk membantah majalah-majalah yang terang-terang siang dan malam dijual yang mempamerkan aksi-aksi panas pasangan yang tidak berkahwin. Kita cari yang tersembunyi, kita biarkan yang nyata.

Sesetengah media, memang suka berita sensasi tentang maruah ‘orang lain’ untuk dilelong. Namun Islam menentang cara yang demikian. Maksiat yang dibanteras secara keras oleh Islam adalah maksiat yang berlaku secara terbuka kerana ia menggalakkan aktiviti mungkar dan mencemarkan iklim masyarakat Muslim. Adapun maksiat berlaku secara sembunyi dan hanya membabitkan soal peribadi insan, bukan keselamatan awam, maka ia tidak didedahkan.


Berkenaan isu lelaki menyerupai wanita, dan wanita menyerupai lelaki:

Ini adalah pengetahuan am yang diketahui umum, sekalipun orang mereka yang tidak mendalam agama dan tidak membaca keputusan fatwa. Namun persoalannya adalah pelaksanaan. Memang wujud wanita yang hidup ‘bergaya’ lelaki. Namun, maksiat terbuka yang banyak kelihatan jika penguat kuasa agama ingin mencegahnya adalah lelaki yang menyerupai wanita. Entah berapa ramai selebriti lelaki negara kita yang berwatak seperti perempuan. Entah berapa banyak pula drama, pertunjukan dan filem kita yang seakan mengiktiraf ‘wanita jadi-jadian’. Sehingga seakan kita ada tiga spesis; saudara, saudari dan ‘saudarai’. Inilah maksiat terbuka yang lebih patut dibantah daripada mencari-cari ‘kemungkinan’ maksiat di belakang pintu yang berkunci.


Sumber: Minda Mufti

-------------------------------

Pada saya, selagi pihak-pihak yg memegang jawatan di Jabatan Agama Islam tidak boleh ditegur dan melaksanakan apa yg sepatutnya, selagi itulah masalah yg timbul takkan dapat diselesaikan. Adakah mereka merasakan bahawa mereka kebal drp melakukan kesilapan & pantang ditegur? Padahal bukan semuanya mereka tahu, dan bukan semua yg mereka tahu & laksanakan itu betul. Tetapi dek keegoan dan rasa diri serba tahu, segalanya jadi tunggang terbalik!

No comments: