12 March 2008 (Rabu) - Demam PRU Malaysia yg ke-12 sudah semakin reda dirasakan setelah 4 hari berlalu. Namun begitu, kehangatan keputusan pilihanraya kali ini masih hebat dibincangkan, terutamanya tentang kejatuhan 5 negeri di Malaysia ke tangan pembangkang, serta pembentukan kerajaan yang baru di setiap , negeri. Alhamdulillah, kerajaan pusat yang baru juga telah berjaya dibentuk. Semuanya berjalan lancar tanpa sebarang huru-hara. Ternyata rakyat Malaysia semakin terbuka minda mereka dalam pemilihan pemimpin di negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, serta mengutamakan nilai toleransi antara kaum. Semoga Malaysia dengan satu era dan wajah yang baru dapat ditonjolkan kepada dunia. Wajah yang lebih bersih daripada sebarang unsur negatif, serta kebajikan rakyat yang akan lebih terpelihara.
Sekarang rakyat Malaysia tentunya mahu melihat para pemimpin yang telah dipilih ini bersatu memimpin rakyat & mentadbir negara dengan penuh berhemah & berdedikasi. Segala perancangan yang baik & bermanfaat untuk rakyat & negara seharusnya diteruskan. Namun kalau ada salah laku & ketempangan dalam pentadbiran sebelum ini, maka bersama-samalah diperbetulkan. Amanah yang telah diberikan oleh rakyat tidak wajar dikhianati & disalahgunakan. Barisan pembangkang pula perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan segala perancangan yang telah diaturkan oleh pihak kerajaan berjalan selari dengan objektif untuk memajukan Malaysia & membela nasib rakyat, serta tidak tergelincir daripada landasan yang asal. Teguran yang baik daripada pihak pembagkang perlu diteliti & dikaji, kerana manusia yang jarang ditegur akan kesilapan mereka akan bangga diri, yang kelak akan terjerumus ke lembah kebinasaan. Dewan rakyat bukanlah pentas untuk berpidato semata, atau untuk bertelagah sesama sendiri dengan melontarkan kata-kata kesat, sebaliknya menjadi medan menyuarakan idea & kritikan yang bernas untuk difikir & dilaksanakan bersama. Kekayaan negara pula sepatutnya diagihkan ke setiap negeri berdasarkan keperluan rakyatnya, tanpa perlu membezakan negeri berdasarkan parti yang mentadbir, kerana mereka semuanya bergelar rakyat Malaysia. Keadilan yang sebenar perlu menjadi tonggak pemerintahan di Malaysia, tidak kira siapa yang memerintah.
Saya juga menyeru rakyat Malaysia agar sentiasa celik & sedar tentang perkembangan terkini negara, samada politik, ekonomi, pendidikan, kemsyarakatan, malah aspek-aspek lain juga. Dengan ini, barulah minda kita akan terbuka. Warga kota & juga golongan terpelajar yang lebih terdedah kepada pelbagai sumber media massa tentunya tidak menghadapi masalah untuk memperoleh maklumat yang tepat & terkini. Semakin ramai rakyat yang celik IT. Ribuan blog & media-media alternatif sentiasa terbuka untuk dilayari, serta menjadi tempat untuk melontarkan pandangan masing-masing. Namun begitu, masih ramai juga rakyat kita yang ketinggalan dalam aspek ini, terutama yang tinggal di kawasan luar bandar serta kurang terpelajar. Di sinilah pihak media arus perdana perlu memainkan peranan mereka secara efektif dalam menyampaikan maklumat yang tepat & terkini. Maklumat tidak seharusnya dimanipulasi sebelum disiarkan, kerana lambat laun mereka pasti akan tahu akan hakikat yang sebenar, terutama bila mendapat maklumat tersebut daripada golongan yang terlebih dahulu mengikutinya malui media-media alternatif. Penyebaran informasi dari mulut ke mulut adakalanya lebih cepat & efisyen berbanding media cetak & elektronik. Apabila terlalu banyak informasi telah dimanupulasi oleh pihak media, rakyat semakin tertekan & jelek yang menyebabkan mereka beralih kepada sumber-sumber lain. Sudah tiba masanya media massa kita melangkah setapak maju ke hadapan dalam membekalkan maklumat yang bermanfaat kepada rakyat demi kesejahteraan bersama.
Sekadar corat-coret. Wassalam..
No comments:
Post a Comment