Oleh : Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
Anda senang apabila dihubungi? Itu tandanya orang menyenangi anda. Itu juga tandanya anda seorang yang baik. Anda gemar membaca e-mel yang tidak putus-putus memenuhi inbox anda? Anda tersenyum membaca SMS mereka, anda seronok melayan panggilan-panggilan telefon mereka hingga tidak sedar anda telah menggunakan banyak masa untuk itu?
Tidak mengapa, perbualan-perbualan itu mendatangkan ilham. Rasa tersisih dan terbuang telah hilang. Anda berasa dihargai. Terima kasih teman.
Tiba-tiba anda menoleh sejenak, masa yang telah anda gunakan untuk sembang kosong rupanya mencecah tiga hari tiga malam secara keseluruhan. Anda mulai sedar anda telah menggunakan masa begitu banyak untuk suatu perkara yang nyata tidak begitu berfaedah. Anda juga baru sedar jumlah wang yang begitu banyak telah digunakan oleh pemanggil-pemanggil anda.
Anda ingin memberitahu mereka tetapi tidak upaya. Sudah menjadi semacam kesedapan bersembang setiap pagi, tengah hari dan petang. Kadang-kadang perbualan bersambung hingga ke malam. Anda mula gelisah, baru sedar banyak masa dan wang terbuang begitu saja.
Kalau dulu anda seronok berbalas SMS, e-mel, berbual melalui telefon, sekarang anda mulai lemas tetapi tidak sanggup berterus terang. Kemuncaknya, setiap kali anda melihat nombor-nombor tertentu di skrin telefon bimbit anda serta-merta anda menjadi meradang. “Hai, tak faham-faham. Aku tak angkat tu maknanya aku tak nak diganggu lagilah!” bentak anda kepada diri sendiri.
Jam 8.30 pagi, A menelefon, anda tidak menyambut; jam 10.00 pagi A menelefon lagi, anda masih tidak menyambut; jam 12.00 tengah hari A sekali lagi menelefon, anda tetap tidak menyambut; jam 2.00 petang A tetap mencuba anda tetap bertahan; pukul 4.30 petang sekali lagi A mencuba nasib anda mulai berang. Apabila malam A masih cuba menghubungi anda bertalu-talu anda semakin tension. Perasaan seronok dahulunya kini menjadi semacam igauan ngeri setiap kali telefon anda berdering dan nombor A yang terpapar.
Persoalannya, mengapa dahulu anda berasa seronok dan sekarang anda berasa menyampah? Bukankah maksud A itu baik untuk terus menjalin kemesraan? Bukankah anda juga mendambakannya?
Soalan ini mudah dijawab iaitu apabila hati berkata, “NAK”, semuanya menjadi seronok, sebaliknya apabila hati mula berkata, “TAK NAK”, semuanya menjadi tidak seronok.
Mempelajari psikologi manusia kita boleh merumuskan beberapa perkara:
1. Apabila sesuatu perkara itu dilakukan secara terlampau, akan timbul kebencian. Misalnya seorang wanita bermanja-manja dengan temannya untuk mendapatkan sesuatu. Bermanja-manja seadanya itu akan membuatkan si teman berasa seronok dan berasa berhutang jika tidak menunaikannya. Dia tidak akan berasa rugi untuk memenuhkan hajat temannya itu.
Sebaliknya, terlalu bermanja-manja akan menjadikannya mirip mengada-ngada. Kalau tadi perasaan seronok sekarang menyampah pula yang muncul. Maka, lakukan sesuatu kesukaan berpada-pada jangan sampai keterlaluan – sayang yang diharapkan sakit hati yang mendatang.
2. Usah terlalu menyukai sesuatu sebab apabila anda membencinya, anda akan terlalu membencinya. Seseorang yang terlalu tenggelam dalam dunia seninya, suatu masa kelak akan mentertawakan hasil seninya itu apabila urat seninya semakin pudar. Dia akan tertawa terbahak-bahak membaca hasil tulisannya, melihat lukisannya, mahupun melihat kembali foto-foto peribadi yang dirakamkannya sewaktu sedang ‘mabuk’ itu.
Pada ketika itu dia mungkin sudah terlalu membenci dunianya yang dahulu amat disukainya. Maka, tatkala anda menyukai sesuatu usah terlalu menyukai kelak apabila anda membencinya anda akan terlalu membencinya pula.
3. Untuk mendapatkan perhatian manusia secara berterusan usah terlalu mempamerkan kesukaan anda kepadanya, kelak dia akan bosan dan menganggap anda ‘murahan’. Seimbangkan jumlah masa anda menghubunginya. Usah terlalu jauh berbeza kelak akan hilang penghormatannya terhadap anda.
Kadangkala anda perlu bermain teka-teki. Mahalkan sedikit diri anda, sesekali biarkan dia tercari-cari anda, jangan asyik anda yang tidak jemu-jemu menghubunginya.
The art of human relation harus dimiliki oleh setiap orang. Dalam membentuk hubungan yang intim, kekal dan jujur, kita perlu cuba membaca fikiran orang. Usah fikirkan kepentingan anda sahaja. Apabila terasa rindu anda terus menghubunginya, apabila terasa ingin bertanya sesuatu terus mendail nombornya, apabila terasa ingin berbicara anda terus menjadikannya mangsa. Sesekali fikiran situasi orang berkenaan. Mungkin ketika itu dia sedang sibuk dengan tugas-tugas harian, mungkin ketika itu dia ingin bersendirian atau isolated bersama keluarga.
Jika sekali atau dua kali panggilan anda tidak bersahut, hargailah diri anda dan tinggikanlah maruah anda. Tunggu sehingga dia menghubungi anda semula. Jika dia menghargai anda dan mahu perhubungan itu kekal manis, dia akan menghubungi anda. Jika tidak, fahamilah situasi bahawa kadang-kadang kita perlu memikirkan teman baru lantaran suasana baru yang sedang kita lalui kini. Begitu juga dia, mungkin telah sampai masanya untuk berpisah buat sementara.
1 comment:
Wahhh.. Dato' Nazri dah mula memaparkan artikel2 sifoonya.. hehhe.. Good job.. dah makin maju nih... Welcome to da club..!
- PRO-TAJDID -
Post a Comment