Thursday, December 29, 2016

Ahli Akademik Semakin "Dilupakan" dengan Tugas Hakiki Mereka

 
Gambar hiasan: Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di UIAM Gombak (Copyright: Nazri Nawi)

Hari ini jelas dapat kita perhatikan, bukan saja para guru di sekolah, malah para pensyarah universiti juga amat dibebankan dengan kerja-kerja pentadbiran yang sebenarnya amat kurang impaknya kepada pembangunan akademik dan sahsiah para pelajar.
 
Kalau di sekolah, dahulunya kita ada KBKK (Kemahiran Berfikir secara Kritis & Kreatif), dan sekarang kita ada KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi), dan pastinya selepas ini akan ada pelbagai lagi konsep yang akan diperkenalkan dengan harapan untuk menambahbaik mutu pendidikan di negara kita, maka begitu juga di universiti, kita ada konsep dan perlaksanaan OBE (Outcome-Based Education).
 
Kita rasa (atau kita perasan) perlaksanaan OBE bakal menjadikan para pelajar lebih baik dari segi tahap pemahaman mereka dalam sesuatu konsep, dan mereka mampu untuk mengaplikasikan konsep tersebut dalam menyelesaikan permasalahan yang lebih besar. Ia memang konsep yang baik secara teorinya, tapi praktikalnya bagaimana, adakah ia mencapai matlamat yang diharapkan?
 
Hakikatnya tidak begitu. Saya tidak rasa para graduan hari ini lebih baik daripada graduan yang kita hasilkan pada 15 atau 20 tahun yang lepas. Contohnya, tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar tahun akhir di universiti pun berada pada tahap sama dengan SPM. Lihat saja laporan projek tahun akhir mereka jika mahu kepastian. Apa yang dibuat selama 4-5 tahun di universiti? Itukah OBE? Di mana silapnya?
 
Saya sedar, mendidik anak zaman millennium ini tidak sama dengan mendidik anak pada 30-40 tahun yang lepas. Saya juga tidak bersetuju dengan dengan sesetengah pensyarah yang masih lagi menggunakan pendekatan konvensional semata dalam proses pembelajaran. Pendekatan perlu berubah, dan ini juga salah satu komponen dalam OBE. 'Tools' (alat bantu mengajar) juga perlu berubah, sesuai dengan perubahan zaman. Namun begitu, terlebih memberi penekanan kepada 'tools' dan mekanisma perlaksanaan OBE tanpa menekankan konsep dan semangat pendidikan yang asal juga silap. Ia perlu digabungkan dan berjalan serentak.
 
Dahulu para pensyarah dan pendidik di universiti benar-benar menjalankan tugas mereka sebagai pendidik, mahu melahirkan manusia yang berpengetahuan dan bersahsiah, yang mampu menyumbang semula kepada masyarakat dan bakal menjadi pemimpin Ummah. Matlamat para pendidik jelas dan mereka fokus kepada tugas hakiki mereka. Mereka tidak dibebankan dengan perkara yang sebenarnya tidak perlu. Natijahnya lahirlah ramai sarjana dan tokoh hebat dalam apa jua bidang yang diceburi. Pensyarah yang hebat adalah mereka yang mampu melahirkan lebih ramai manusia yang hebat seperti mereka, malah mungkin lebih hebat daripada mereka.
 
Namun hari ini kita lihat para pensyarah tidak lagi fokus kepada tugas hakiki mareka untuk melahirkan insan-insan hebat. Mereka bukan sahaja dibebankan dengan urusan admin yang remeh dan rumit, tetapi juga 'dipaksa' untuk memenuhi pelbagai KPI yang dibuat oleh pihak atasan demi mencapai matlamat tertentu seperti mengejar ranking universiti, mencapai status universiti penyelidikan (RU), dan pelbagai lagi. Ini bukan salah mereka semata, tetapi salah sistem yang telah menjadikan para pensyarah hanya seperti pekerja-pekerja sebuah kilang (universiti) yang perlu mengikut apa sahaja kata majikan demi memastikan kilang itu dapat terus beroperasi dan bersaing dengan kilang-kilang lain.
 
Ahli akademik yang sebenar seharusnya tahu apa tanggungjawab mereka. Tugas mereka mendidik dan menghasilkan graduan yang hebat, di samping menjalankan penyelidikan, menulis hasil peyelidikan, dan berkongsi kepakaran dan ilmu mereka dengan masyarakat. Benar, perlu ada mekanisma tertentu untuk menilai pencapaian para pensyarah, tetapi mereka tidak perlu dipaksa dan diugut untuk memenuhi KPI semata-mata demi mengejar ranking dan status. Jika ini terjadi, maka tidak mustahil akan lahirnya para ahli akademik yang hanya mengejar KPI, pangkat, anugerah dan populariti semata, manakala tugas hakiki mereka dalam mendidik hanya menjadi tugas sampingan.
 
Ini adalah pandangan penulis semata. Tidak wajib betul, harus salah.
 
Nazri Nawi
2 April 2016
IIUM, Gombak

Monday, November 21, 2016

Kereta Mahal Tetap Perlu Berhenti


Kereta kalau semahal mana sekalipun, kena berhenti. Seperti berhenti di stesen minyak, tempat servis, ataupun berhenti kerana ada masalah di jalan raya. Mana ada kereta tak berhenti 24 jam. Akibatnya, enjin jadi panas, brek panas, air kering, dan minyak habis.

Samalah kita sebagai manusia, perlu berhenti apabila masuk waktu solat. Dalam 24 jam, kita berhenti lima kali untuk solat. (TGNA dalam Komik Tazkirah Tuan Guru, 2016).




Model of Yesteryear, Ford 1912, by Nikon D90 with Nikkor 35mm f/1.8G lens



Sunday, November 20, 2016

Pencetus Ummah 2016


Satu atau dua bulan lepas saya ada menulis di Facebook bahawa saya berhasrat untuk menonton rancangan Pencetus Ummah (PU) edisi 2016 atas faktor kehadiran Dr. MAZA sebagai juri tetap (selepas mendengar berita tentang itu di radio), kerana ia pasti ada kelainan. Saya baru sedar rupanya sudah 4 minggu ia berlangsung, dan kali pertama saya menonton rancangan tersebut di TV ketika balik di Taiping beberapa hari yang lepas. 

Saya suka. Kehadiran Dr. MAZA memang memberi impak besar terutamanya kepada isi kandungan penyampaian. Jelas kelihatan para peserta membuat 'homework' dan bercakap atas fakta ilmiah, selain penyampaian yg tidak kurang hebatnya. 


 Barisan juri tetap & jemputan PU pada minggu ke-4. 
(Gambar ihsan daripada Facebook DrMAZA.com)

Yang lebih ditunggu adalah ulasan, nasihat & tambahan atau pembetulan fakta (jika ada) oleh Dr. MAZA setiap kali selesai penyampaian. Juri jemputan setakat ini juga saya suka. Prof Dr. Mahmud Zuhdi, Dato' Abu Hasan Din, Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.. dan saya suka PU Azman sebagai pengacara. Berilmu & mantap penyampaian beliau. Saya tak pernah kenal atau dengar beliau sebelum ini. Lepas ini kena banyak dengar kuliah beliau di youtube juga..

Yang baik kita sebarkan. Teruskan tersenyum :)

Tuesday, June 7, 2016

Larangan Makan Bawang Putih dan Datang ke Masjid

Sabda Rasulullah SAW:
 
Ertinya: Barangsiapa makan bawang putih atau bawang merah, maka janganlah dia mendekati masjid kami, dan hendaklah dia solat di rumahnya.” [Sahih Al-Bukhari, kitab Al-Adzan, #855]

Ertinya: Barangsiapa makan bawang putih atau bawang merah, maka janganlah dia mendekati masjid kami, dan hendaklah dia solat di rumahnya, kerana sesungguhnya para malaikat juga terganggu dengan apa-apa yang mengganggu anak Adam.” [Sahih Muslim, kitab Al-Masajid, #564]

---

Larangan datang ke masjid ini adalah disebabkan bau kurang enak yang disebabkan makanan tersebut. Maka jika sesiapa makan sesuatu yang berbau kurang enak yang boleh mengganggu para jemaah, seperti durian, petai, jering, belacan, dll, dan mereka tidak pula berusaha untuk menghilangkan sepenuhnya bau tersebut, usahlah datang ke masjid. Saya kira bau makanan yang disebutkan tadi adalah jauh lebih kurang enakknya berbanding bawang putih, cuma pada zaman Rasulullah tidak ada durian, petai atau jering. Jika ada, mungkin ia juga disebutkan. Ini termasuk juga para perokok dan mereka yang tidak menjaga kebersihan badan yang mana bau nafas dan badan mereka sangat mengganggu para jemaah.

Larangan ini tidak wajar dijadikan alasan untuk mereka tidak datang ke masjid. Yang seharusnya, mereka perlu meninggalkan makanan tersebut, atau jika ingin juga dimakan, mereka wajib membersihkan diri semaksimum mungkin sebelum ke masjid. Untuk para perokok, itu sudah jelas keharamannya samada mereka datang ke masjid atau tidak.

Selamat menunaikan ibadah pada bulan Ramadhan ini.

Nazri Nawi
7 Jun 2016
2 Ramadhan 1437H

Friday, May 27, 2016

Benarkah Kita Tidak Harus Melihat pada Siapa yang Berkata?


Orang biasa berkata, "Jangan lihat pada siapa yang berkata, tapi lihatlah pada apa yang dikatakannya."

Sejauh mana benarnya kata-kata tersebut? Saya katakan, ia benar dan terpakai hanya apabila apa yang dikatakan itu adalah hal-hal umum yang semua orang tahu akan kebenarannya, seperti keperluan menjaga kebersihan, kewajipan mentaati ibu bapa, galakan berbuat baik sesama manusia, dan yang seumpamanya.

Namun dalam hal-hal khusus yang hanya diketahui oleh sekelompok manusia yang arif tentangnya, termasuk dalam hal keagamaan seperti hukum-hakam & selok-belok perundangan, hal yang berkaitan dengan perkara ghaib, kupasan tentang Al-Quran & hadith, ungkapan di atas tidak terpakai lagi.

Dalam hal ini, kita perlu melihat pada siapa yang berkata, dan bukan pada apa yang dikata semata. Jika kita bukan ahli dalam hal tersebut, bagaimana mungkin kita dapat tahu kebenaran apa yang dikatakan tanpa kita melihat pada siapa yang berkata? Bagaimana mungkin seseorang yang tidak mampu memahami dan bertutur dalam Bahasa Arab, tiba-tiba mahu berbicara tentang tafsir Al-Quran secara mentah tanpa merujuk kepada buku tafsir yang muktabar atau pada guru yang mahir dengan ilmu tafsir.

Saya katakan, antara cara kita melihat siapa yang berkata adalah dengan menilai latarbelakang pendidikannya, dalam bidang apa & di mana dia perolehi ijazahnya (atau Masters/PhD jika ada), juga lihat pada apa/siapa rujukan-rujukannya bila menukilkan suatu kata-kata jika mampu. Kita mungkin tidak mampu merujuk sendiri setiap sumber rujukan yang dipetik, tetapi kita mungkin pernah mendengar nama pengarang buku-buku tersebut. Itu juga boleh menjadi kayu ukur sejauh mana kebenaran kata-kata mereka.

Kaedah ini terpakai dalam semua bidang akademik dan bukan saja terbatas dalam hal keagamaan. Saya tentunya tidak akan percaya bila seseorang berbicara tentang teori fizik dan kosmos, malahan sampai ke tahap menyangkal teori relativiti oleh Einstein, atau teori Black Holes oleh Stephen Hawking walaupun dia seorang ustaz lulusan Al-Quran & Sunnah. Kenapa? Kerana ustaz tersebut bukan ahli dalam bidang fizik.

Barangkali 30-40 tahun dahulu tiadanya keperluan untuk melihat siapa yang berkata seperti yang saya sarankan itu, tetapi dalam dunia hari ini di mana kemunculan manusia yang mengaku pakar dalam sesuatu bidang, terutamanya bidang agama, adalah ibarat tumbuhnya cendawan selepas hujan, maka keperluan untuk melihat pada siapa yang berkata semakin mendesak. Para 'pakar' ini juga tidak seharusnya menyembunyikan latarbelakang pendidikan mereka jika mereka benar-benar yakin dengan ilmu mereka, dan tidak pula takut menerima persoalan & kritikan.

Itulah pendekatan saya. Saya sentiasa melihat siapa yang berkata bila bicaranya tentang hal-hal yang khusus, samada bidang agama atau bidang akademik yang lain.

Nazri Nawi
26 May 2016

Sunday, January 31, 2016

Photography: IIUM, the Garden of Knowledge and Virtue


After almost 5 years, I am now back at this university, trying to do my very best to contribute towards the betterment of the ummah. Be kind to me, please..


IIUM Mosque during the golden hour (sunset) on 29th Jan 2016, a few days before the new semester begins (Sem II 2015/2016). 
(Picture captured by Nikon D90 and HDR image generated by Photomatix 5.0.5a)