|
Gambar hiasan: Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di UIAM Gombak (Copyright: Nazri Nawi) |
Hari ini jelas dapat kita perhatikan, bukan saja para guru di sekolah, malah para pensyarah universiti juga amat dibebankan dengan kerja-kerja pentadbiran yang sebenarnya amat kurang impaknya kepada pembangunan akademik dan sahsiah para pelajar.
Kalau di sekolah, dahulunya kita ada KBKK (Kemahiran Berfikir secara Kritis & Kreatif), dan sekarang kita ada KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi), dan pastinya selepas ini akan ada pelbagai lagi konsep yang akan diperkenalkan dengan harapan untuk menambahbaik mutu pendidikan di negara kita, maka begitu juga di universiti, kita ada konsep dan perlaksanaan OBE (Outcome-Based Education).
Kita rasa (atau kita perasan) perlaksanaan OBE bakal menjadikan para pelajar lebih baik dari segi tahap pemahaman mereka dalam sesuatu konsep, dan mereka mampu untuk mengaplikasikan konsep tersebut dalam menyelesaikan permasalahan yang lebih besar. Ia memang konsep yang baik secara teorinya, tapi praktikalnya bagaimana, adakah ia mencapai matlamat yang diharapkan?
Hakikatnya tidak begitu. Saya tidak rasa para graduan hari ini lebih baik daripada graduan yang kita hasilkan pada 15 atau 20 tahun yang lepas. Contohnya, tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar tahun akhir di universiti pun berada pada tahap sama dengan SPM. Lihat saja laporan projek tahun akhir mereka jika mahu kepastian. Apa yang dibuat selama 4-5 tahun di universiti? Itukah OBE? Di mana silapnya?
Saya sedar, mendidik anak zaman millennium ini tidak sama dengan mendidik anak pada 30-40 tahun yang lepas. Saya juga tidak bersetuju dengan dengan sesetengah pensyarah yang masih lagi menggunakan pendekatan konvensional semata dalam proses pembelajaran. Pendekatan perlu berubah, dan ini juga salah satu komponen dalam OBE. 'Tools' (alat bantu mengajar) juga perlu berubah, sesuai dengan perubahan zaman. Namun begitu, terlebih memberi penekanan kepada 'tools' dan mekanisma perlaksanaan OBE tanpa menekankan konsep dan semangat pendidikan yang asal juga silap. Ia perlu digabungkan dan berjalan serentak.
Dahulu para pensyarah dan pendidik di universiti benar-benar menjalankan tugas mereka sebagai pendidik, mahu melahirkan manusia yang berpengetahuan dan bersahsiah, yang mampu menyumbang semula kepada masyarakat dan bakal menjadi pemimpin Ummah. Matlamat para pendidik jelas dan mereka fokus kepada tugas hakiki mereka. Mereka tidak dibebankan dengan perkara yang sebenarnya tidak perlu. Natijahnya lahirlah ramai sarjana dan tokoh hebat dalam apa jua bidang yang diceburi. Pensyarah yang hebat adalah mereka yang mampu melahirkan lebih ramai manusia yang hebat seperti mereka, malah mungkin lebih hebat daripada mereka.
Namun hari ini kita lihat para pensyarah tidak lagi fokus kepada tugas hakiki mareka untuk melahirkan insan-insan hebat. Mereka bukan sahaja dibebankan dengan urusan admin yang remeh dan rumit, tetapi juga 'dipaksa' untuk memenuhi pelbagai KPI yang dibuat oleh pihak atasan demi mencapai matlamat tertentu seperti mengejar ranking universiti, mencapai status universiti penyelidikan (RU), dan pelbagai lagi. Ini bukan salah mereka semata, tetapi salah sistem yang telah menjadikan para pensyarah hanya seperti pekerja-pekerja sebuah kilang (universiti) yang perlu mengikut apa sahaja kata majikan demi memastikan kilang itu dapat terus beroperasi dan bersaing dengan kilang-kilang lain.
Ahli akademik yang sebenar seharusnya tahu apa tanggungjawab mereka. Tugas mereka mendidik dan menghasilkan graduan yang hebat, di samping menjalankan penyelidikan, menulis hasil peyelidikan, dan berkongsi kepakaran dan ilmu mereka dengan masyarakat. Benar, perlu ada mekanisma tertentu untuk menilai pencapaian para pensyarah, tetapi mereka tidak perlu dipaksa dan diugut untuk memenuhi KPI semata-mata demi mengejar ranking dan status. Jika ini terjadi, maka tidak mustahil akan lahirnya para ahli akademik yang hanya mengejar KPI, pangkat, anugerah dan populariti semata, manakala tugas hakiki mereka dalam mendidik hanya menjadi tugas sampingan.
Ini adalah pandangan penulis semata. Tidak wajib betul, harus salah.
Nazri Nawi
2 April 2016
IIUM, Gombak