Friday, May 27, 2016

Benarkah Kita Tidak Harus Melihat pada Siapa yang Berkata?


Orang biasa berkata, "Jangan lihat pada siapa yang berkata, tapi lihatlah pada apa yang dikatakannya."

Sejauh mana benarnya kata-kata tersebut? Saya katakan, ia benar dan terpakai hanya apabila apa yang dikatakan itu adalah hal-hal umum yang semua orang tahu akan kebenarannya, seperti keperluan menjaga kebersihan, kewajipan mentaati ibu bapa, galakan berbuat baik sesama manusia, dan yang seumpamanya.

Namun dalam hal-hal khusus yang hanya diketahui oleh sekelompok manusia yang arif tentangnya, termasuk dalam hal keagamaan seperti hukum-hakam & selok-belok perundangan, hal yang berkaitan dengan perkara ghaib, kupasan tentang Al-Quran & hadith, ungkapan di atas tidak terpakai lagi.

Dalam hal ini, kita perlu melihat pada siapa yang berkata, dan bukan pada apa yang dikata semata. Jika kita bukan ahli dalam hal tersebut, bagaimana mungkin kita dapat tahu kebenaran apa yang dikatakan tanpa kita melihat pada siapa yang berkata? Bagaimana mungkin seseorang yang tidak mampu memahami dan bertutur dalam Bahasa Arab, tiba-tiba mahu berbicara tentang tafsir Al-Quran secara mentah tanpa merujuk kepada buku tafsir yang muktabar atau pada guru yang mahir dengan ilmu tafsir.

Saya katakan, antara cara kita melihat siapa yang berkata adalah dengan menilai latarbelakang pendidikannya, dalam bidang apa & di mana dia perolehi ijazahnya (atau Masters/PhD jika ada), juga lihat pada apa/siapa rujukan-rujukannya bila menukilkan suatu kata-kata jika mampu. Kita mungkin tidak mampu merujuk sendiri setiap sumber rujukan yang dipetik, tetapi kita mungkin pernah mendengar nama pengarang buku-buku tersebut. Itu juga boleh menjadi kayu ukur sejauh mana kebenaran kata-kata mereka.

Kaedah ini terpakai dalam semua bidang akademik dan bukan saja terbatas dalam hal keagamaan. Saya tentunya tidak akan percaya bila seseorang berbicara tentang teori fizik dan kosmos, malahan sampai ke tahap menyangkal teori relativiti oleh Einstein, atau teori Black Holes oleh Stephen Hawking walaupun dia seorang ustaz lulusan Al-Quran & Sunnah. Kenapa? Kerana ustaz tersebut bukan ahli dalam bidang fizik.

Barangkali 30-40 tahun dahulu tiadanya keperluan untuk melihat siapa yang berkata seperti yang saya sarankan itu, tetapi dalam dunia hari ini di mana kemunculan manusia yang mengaku pakar dalam sesuatu bidang, terutamanya bidang agama, adalah ibarat tumbuhnya cendawan selepas hujan, maka keperluan untuk melihat pada siapa yang berkata semakin mendesak. Para 'pakar' ini juga tidak seharusnya menyembunyikan latarbelakang pendidikan mereka jika mereka benar-benar yakin dengan ilmu mereka, dan tidak pula takut menerima persoalan & kritikan.

Itulah pendekatan saya. Saya sentiasa melihat siapa yang berkata bila bicaranya tentang hal-hal yang khusus, samada bidang agama atau bidang akademik yang lain.

Nazri Nawi
26 May 2016